
"Ummi.Malam ni ummi tak nak cerita ke kat kakak?"
"Kakak nak cerita apa?"
"Ala..cerita macam ummi cerita semalam tu..Pasal puteri-puteri.Macam Cinderella tu.Ummi kata ramai.Semalam baru satu.Nama dia..Khadijah kan."
"Bukan macam Cinderella la sayang.Cinderella tu cerita tipu-tipu je.Bukan puteri.Ummi cerita pasal bidadari kat syurga nanti.Lagi cantik daripada Cinderella tu."
"Cerita tipu.Eee..berdosa kan tipu orang ummi.Tak baik."
Si ibu sekadar tersenyum.Tangannya mengusap-ngusap kepala anak kecil itu.
"Ummi cerita pasal Aisyah la malam ni ya."
"Kenapa nak cerita pasal kakak.Kakak tau la cerita kakak."
"Bukan cerita kakak lah.Kakak,Aisyah Humaira' binti Amin.Ummi nak cerita pasal Aisyah binti Abu Bakr."
"Oo..nama dia macam nama kakak lah.Tapi Abu Bakr tu macam pernah dengar.Hmm..Haa!!baru ingat!Abi yang cerita dekat kakak dulu.Abu Bakr tu kawan baik Nabi Muhammad kan ummi."
"Pandainya anak ummi.."
"Ummi..ni cerita anak dia ke?"
"A'ah..cerita anak Abu Bakr…"
"Cepatlah ummi.."
"Isy..anak ummi ni..okla..Nama dia Aisyah binti Abu Bakr.Tapi Rasulullah panggil dia kadang-kadang Humaira'.Sebab bila dia malu dan marah,pipi dia mesti jadi merah-merah"
"Humaira' tu pun nama kakak jugak.Dia comel macam kakak ya ummi?"
"Kalau kakak nak jadi comel.Kena jadi macam Aisyah ni jugak."
"ooo..macam tu ke?"
"Mestilah..ok sambung cerita tadi.Aisyah kahwin dengan Rasulullah masa umur dia 6 tahun."
"Keciknya..Besar sikit je dari kakak.Kakak 4 tahun kan ummi."
"Ya sayang.Mula-mula Abu Bakr serba salah.Aisyah muda lagi.Tak tahu pun macam mana nak masak,kemas rumah.Boleh ke dia kahwin dengan Rasulullah."
"Tapi dia kahwin ke tak ummi?"
"Dia kahwin.Bila Rasulullah kata ini wahyu dari Allah.Abu Bakr terus setuju.Jibril datang dalam mimpi Rasulullah.Dia bawak kain sutera yang ada gambar Aisyah dan kata ni isteri Rasulullah."
"Ooo..boleh lukis muka orang kat kain sutera ya ummi?"
"Kuasa Allah.Semua boleh jadi sayang.Kan boleh lukis bunga atas sutera.Macam baju ummi tu.Mestilah boleh lukis muka orang jugak.Tapi sutera yang Jibril bawa tak sama dengan sutera kat dunia.Sutera tu dari syurga.Lagi mahal."
"Bestnya..Nak sutera tu jugak."
"Kakak kenalah buat baik dulu.Baru boleh dapat sutera tu kat syurga nanti.Lepas Abu Bakr setuju.Abu Bakr nak suruh Aisyah jumpa Rasulullah sebab Rasulullah tak pernah tengok Aisyah lagi.Lepas tu,Abu Bakr pun ambik talam dan letak tamar dalam tu.Dia cakap dekat Aisyah,'Aisyah ambillah tamar ini dan hantar ke rumah Rasulullah.Tanyakan pada Rasulullah,dia suka hadiah ini ke tak?' Aisyah pun bawa tamar tadi pergi rumah Rasulullah.Aisyah pun cakap lah pesanan ayah dia tadi.Rasulullah suka sangat kat Aisyah sebab dia comel sangat.Kemudian,Rasulullah pun cakap kat Aisyah, 'Katakan kepada ayahmu,aku amat menyukai hadiah ini.'Hadiah tu sebenarnya adalah Aisyah.Bakal isteri Rasulullah."
"ooo..kakak ingatkan tamar tu hadiah tadi."
"Hmm..lepas tu Aisyah pun kahwin dengan Rasulullah.Dia pun tinggal dekat rumah Rasulullah.Satu hari tu,Rasulullah dengan rombongan askar-askar baru balik dari berperang.Masa tu Aisyah ikut Rasulullah.Tiba-tiba,Rasulullah suruh sahabat jalan dulu,tinggalkan dia dengan Aisyah.Teka Rasulullah buat apa?"
"mmm..dia jalan kaki ya dengan Aisyah?"
"Eh..tak lah.Rasulullah main lumba lari dengan Aisyah.Rasulullah buat-buat lari perlahan.Jadi Aisyah pun menang.Aisyah suka sangat.Kemudian bila Aisyah dah besar,Rasulullah pun ada main lumba lari jugak.Tapi lepas tu,Rasulullah pulak yang menang."
"Ee..bestnya.Nak ajak abi dengan abang main lumba lari la lepas ni."
"Ok..Lepas subuh esok kita main ya.Hmm..Satu hari jugak,masa tu lepas peperangan.Rantai Aisyah tercicir.Dia pun turun dari tandu dia untuk cari rantai tu.Dia pun jalan..jalan cari rantai dia.Lepas dia jumpa rantai dia,dia pun pergilah balik dekat tandu dia.Tapi dia tengok semua orang dah balik.Sahabat semua tak tahu yang Aisyah tak naik tandu dia lagi.Aisyah ringan sangat.Dia naik pun sama je macam tak naik.Lepas tu,dia letih sangat sebab cari rantai dia tadi.Dia pun tidur.Dia rasa mesti orang akan cari dia balik bila dah sedar dia tak ada nanti."
"Kesiannya..dia kena tinggal..Lepas tu ada orang jumpa dia ke tak ummi?"
"Tiba-tiba,Aisyah terbangun bila dia dengar suara lelaki cakap 'Inna lillahi wainna ilaihi rajiun!'.Rupa-rupanya,ada seorang sahabat yang kerja dia kutip barang-barang yang tertinggal lepas perang.Nama dia Safwan bin Mua'ttal."
"Ummi,kenapa dia cakap inna lillahi wainna ilaihi rajiun? Bukan kalau ada orang mati je ke kita cakap macam tu? Abi yang cakap kat kakak hari tu."
"Bukan orang mati je.Tapi bila ditimpa musibah kita cakap macam tu.Orang mati tu satu musibah.Aisyah kena tinggal pun,kira musibah lah."
"Oo..macam tu ke.."
"Safwan memang kenal semua ahli keluarga Rasulullah sebelum perintah pakai purdah diturunkan pada isteri Rasulullah.Jadi dia kenal lah tu Aisyah.Dia pun suruh Aisyah cepat-cepat pakai purdah."
"Purdah tu yang tutup muka tu kan.Semua isteri Rasulullah pakai ya?"
"A'ah.Semua isteri Rasulullah pakai sebagai tanda penghormatan.Lepas tu,Safwan pun ambil unta dia dan suruh Aisyah naik.Dia akan tolong Aisyah kejar rombongan sahabat yang dah jalan tu."
"Dia sempat kejar ke tak ummi?"
"Takdir Allah,dia tak sempat kejar.Safwan sampai di Madinah dengan Aisyah.Kemudian,Abdullah bin Ubai bin Salul nampak.Dia pun buat cerita yang Aisyah ada hubungan dengan Safwan.Padahal,Safwan tu sahabat Rasulullah yang baik.Aisyah pula isteri yang sangat taat.Aisyah cuma kena tinggal je,bukan dia sengaja."
"Siapa Abdullah tu ummi?Jahatnya dia."
"Abdullah bin Ubai bin Salul tu ketua munafik.Rasulullah hanya tanya Aisyah ok ke tak.Dia tak pergi jumpa Aisyah pun.Lepas Aisyah sampai tu,dia duduk dalam rumah je sebab dia sakit.Dia sendiri tak tahu pun pasal cerita Abdullah bin Ubai bin Salul tu.Sebulan dia duk kat rumah.Rasulullah pun tak ada jumpa dia.Aisyah ingat Rasulullah sibuk menguruskan negara.Jadi dia sabar je."
"Kesiannya dia.Tapi dia sabar.Bagus kan dia ummi."
"Betul tu sayang.Bagus sangat.Satu hari tu,Ummu Mustah tengah sikat rambut Aisyah.Tiba-tiba,sikat tu jatuh dan Ummu Mustah melatah 'Celaka Mustah!'.Aisyah pun terkejut.Dia tanya la 'Kenapa cakap macam tu.Bukan ke Allah memuliakan Ahli Badar?'.Mustah adalah salah seorang sahabat yang menyertai perang Badar.Lepas tu,Ummu Mustah pun cakap yang Mustah telah membenarkan kata-kata munafik pasal Aisyah tu.Bila Aisyah tahu,dia terus jumpa Rasulullah.Dia tanya kat Rasulullah,Rasulullah percaya ke kat cerita tu?"
"Rasulullah jawab apa ummi?"
"Rasulullah diam je.Dia pun tak tahu nak jawab apa.Allah pun langsung tak turunkan wahyu pasal perkara ni.Aisyah pun terus mintak izin balik ke rumah mak ayah dia.Bila dia sampai kat rumah dia,mak dia Ummu Rumman terus tenangkan Aisyah.Dia tahu anak dia tak buat salah.Tapi Aisyah tetap tak tenang.Dia sedih sangat sebab Rasulullah pun macam tak percaya kat dia.Dia pun menangis je siang dan malam.Sampai malam pun dia tak boleh tidur sebab sedih sangat."
"Rasulullah tak pujuk dia ummi?"
"Rasulullah tak pujuk pun sebab Rasulullah sendiri sedih dan terkejut.Tak tahu nak percaya ke tak berita tu.Tapi Rasulullah pun jumpa sahabat.Rasulullah tanya kat sahabat apakah pendapat mereka pada Aisyah.
Usamah bin Zaid menjawab : Dia adalah ahli(isteri) kamu.Dan kami tidak mengetahui apa-apapun daripadanya kecuali kebaikan.
Ali bin Abi Talib menjawab: Ya Rasulullah,ramai wanita di dunia ini dan kamu mampu untuk berkahwin dengan yang lain.Mungkin kamu boleh bertanya kepada pembantunya Barirah.
Rasulullah pun panggil Barirah.Barirah pun jawab:
Sesungguhnya aku tidak mengetahui kecuali yang baik sahaja daripadanya kecuali apabila dia membuat roti,kemudian dia meninggalkannya.Apabila dia tertidur ,ternakan akan memakannya."
"Ooo.."
"Lepas tu Rasulullah jumpa dengan Aisyah dan kata:
Tiada tuhan melainkan Allah.Wahai Aisyah,aku telah diberitahu mengenai kamu.Jika kamu tidak bersalah,Allah akan membuktikannya.Tapi jika kamu membuat salah.Bertaubatlah dan mohon ampun daripada Allah.
Mula-mula Aisyah suruh ayah dia tolong jawab.Tapi ayah dia kata,dia tak tahu nak jawab apa kat Rasulullah.Dia suruh pulak mak dia.Mak dia pun cakap macam tu jugak.Aisyah pun cakaplah:
'Aku tahu aku masih muda dan tidak banyak tahu mengenai al-Quran.Aku tahu apa yang telah kau dengar mengenai aku dan perasaan kamu.Tapi jika aku berkata aku tidak bersalah,Allah Maha mengetahuinya tapi kamu tidak akan mempercayaiku.Aku tidak menjumpai apa-apa tentang keadaan yang berlaku antara kita kecuali apa yang dikatakan oleh Nabi Ya'qub a.s
'Bersabarlah dan Allah mendengar apa yang kamu ceritakan.'
Tak lama lepas tu Allah pun turunkan wahyu.Surah An-Nur ayat 11."
"Kakak tak baca surah An-Nur lagi ummi.Kakak baru je start baca al-Baqarah."
"Hmm..takpe.Nanti lepas maghrib esok,insyaAllah.Ummi suruh abi tunjukkan dekat kakak ya ayat tu."
"Ok ummi..Lepas wahyu turun Aisyah buat apa?"
"Ohh..Aisyah pun terus jumpa dengan Rasulullah dan kata:
'Aku tidak akan berterima kasih kepada kamu.Tetapi aku berterima kasih kepada Allah kerana mensucikan aku.' Masa tu dia sendiri rasa frust sangat sebab Rasulullah pun hampir tak percayakan dia.Allah je tempat dia mintak pertolongan.Allah lagi tahu dia tak bersalah."
"Oo..betul la abi cakap.Kalau kita rasa sedih,kita dalam keadaan susah kita kena mintak tolong pada Allah.Tapi kalau kita rasa gembira,kita kena bersyukur pada Allah."
"Subhanallah!Pandainya anak ummi ni.Aisyah ni pandai sangat.Dia hidup dalam rumah kenabian.Dengan Rasulullah sendiri.Aisyah jugak satu-satunya isteri yang kahwin dengan Rasulullah ketika masih gadis.Isteri-isteri lain semuanya janda."
"Ummi,Aisyah ni tak ada anak ke?"
"Oo..Rasulullah ada anak dengan Khadijah dan Mariah je.Tapi anak yang hidup adalah anak dengan Khadijah je.Rasulullah tak ada anak dengan isteri lain.Lagipun,Allah nak jadikan Aisyah ni macam video camera yang rekod semua perbuatan Rasulullah.Jadi kita semua boleh tahu macam mana cara Rasulullah hidup dulu.Kalau dia ada anak nanti dia kena jaga anak-anak dia.Tak sempat nak tengok Rasulullah sepenuhnya."
"Oo..macam tu.."
"Hmm..kakak tahu tak.Satu perempat daripada hukum-hukum yang kita gunakan sekarang ni berasal daripada pengetahuan Aisyah.Aisyah pun tahu ilmu pasal bintang.Pasal perubatan pun dia tahu."
"Dia pun doktor macam ummi ke ?"
"Dia bukan macam ummi,tapi dia jadi jururawat yang merawat mujahidin yang berperang dengan orang kafir.Jadi dia banyaklah tahu pasal cara nak merawat penyakit."
"Hebatnya dia ummi.Kakak nak jadi macam dialah."
"Dia hidup lama.Dia ajar orang lain ilmu yang dia ada.Kakak kenalah ajar orang jugak apa yang kakak tahu.Kakak kenalah buat baik.Jadi anak solehah.Buat apa yang Allah suruh.Tinggal apa yang Allah tak suka.Nanti kita boleh sama-sama dekat syurga.Jumpa Aisyah.Jumpa Khadijah.Jumpa semua bidadari yang ada kat syurga.Sebab tu ummi pilih nama kakak Aisyah Humaira'."
"Patutlah.Ummi suka Aisyah ni ya?"
"Mestilah ummi suka.Sebab Rasulullah paling sayang dekat Aisyah.Kita semua mesti nak jadi orang yang Rasulullah sayang jugak kan."
"Ummi..ummi tak nak nyanyi ke?"
"Nyanyi apa malam-malam ni?"
"Eh..silap pulak.Bukan nyanyi.Mengaji.Abi selalu baca Surah al-Mulk sebelum kakak tidur.Abi cakap tu sunnah Rasulullah.Tapi abi tak ada pulak malam ni."
"Abi adalah sayang.Cuma malam ni abi temankan abang Umar kat sebelah.Takpe lah.Biar ummi bacakan ya.Kakak tidur.Esok ummi kejutkan subuh.Kakak nak bangun tak?"
"Nak lah.Kan ummi cakap kena buat apa yang Allah suruh.Adik dalam perut ummi pun mesti nak bangun jugak kan."
"Hmm..tidur ya sayang.Baca doa tidur dulu."
"Bismikallahumma ahya waamut..amiinnn.."
Si ibu tersenyum dan terus melantunkan Surah al-Mulk di telinga anaknya.Gemersik suara ibu yang mendayu terus melenakan anak kecil itu dalam dakapannya.
"Semoga Allah memberkatimu anakku."
Satu ciuman singgah ubun-ubun anak kecil yang sedang terlena itu.

~Wallahualam~

0 les voix:
Post a Comment
I've done my part. It's your turn now.
Thanks. I really appreciate it. :)